Friday 26 February 2016

Kelas Antenatal Untuk Bakal Ibu dan Ayah

Salam semua...

Kalau di negara Barat, bila wanita itu disahkan mengandung, memang wajib dia pergi ke kelas antenatal. Tetapi di Malaysia ia bukan perkara wajib. Bagaimanapun sekarang ini, kelas antenatal semakin mendapat perhatian dan ramai bakal ibu ayah terutama yang akan menimang cahaya mata pertama pergi ke kelas antenatal. Sebelum itu, anda tahu tak apa itu kelas antenatal?

Kelas antenatal adalah sesi di mana bakal ibu ayah berpeluang menimba pelbagai jenis ilmu sebagai persediaan mental, spiritual, psikologi dan penjagaan kesihatan menyambut kelahiran bayi. Biasanya dalam kelas tersebut, bakal ibu ayah akan mempelajari ilmu berkenaan kehamilan, proses kelahiran, penjagaan bayi selepas lahir, penyusuan susu ibu, penjagaan ibu dalam pantang dan lain-lain yang berkaitan dengan ibu dan anak.

Kenapa kelas ini dikatakan bagus?


1. Persediaan jadi ibu ayah

Bagi yang baru pertama kali hendak bergelar ibu ayah tentu sahaja tiada sebarang maklumat berkenaan hal mengandung, melahirkan anak dan menjaga anak. Tentu ada banyak persoalan yang bermain di fikiran masing-masing. Dengan menghadiri kelas antenatal, anda berpeluang berjumpa dengan para pakar bertauliah mengikut bidang masing-masing. Anda boleh terus bertanyakan soalan kepada mereka berbanding mencari maklumat sendiri di internet dan buku.

                             


2. Gambaran awal

Sekiranya mengikut kelas antenatal di hospital bersalin pilihan, anda akan dibawa melawat ke sekeliling bilik bersalin. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak ia memberi gambaran awal keadaan bilik bersalin ketika proses kelahiran bayi. Ini sekali gus membuatkan anda lebih bersedia dan dapat membiasakan diri dengan prosedur hospital dan mengetahui apa yang bakal berlaku.

                   

3. Kenal doktor

Secara tidak langsung anda dapat mengenali doktor pakar perbidanan dan sakit puan, doktor pakar kanak-kanak, doktor pakar bius, pakar pemakanan, ahli fisioterapi, pakar laktasi, para jururawat dan lain-lain lagi dengan lebih dekat. Kesemua doktor tersebut akan anda temui sepanjang mengandung, melahirkan anak dan pemeriksaan bayi kelak jika memilih hospital berkenaan sebagai hospital bersalin.

                        


4. Belajar teori dan praktikal

Di dalam kelas ini, anda akan diajar berkenaan apa yang berlaku sepanjang tempoh mengandung, pemakanan yang baik semasa mengandung, senaman khusus untuk ibu hamil, maklumat tentang proses bersalin dan kelahiran bayi, prosedur perubatan, pilihan penggunaan ubat penahan sakit, cadangan terkni mengenai teknik persediaan fizikal, mental, emosi dan proses kelahiran, nasihat mengenai teknik meneran, mempelajari teknik pernafasan ketika bersalin, pilihan kaedah bersalin, demonstrasi penjagaan bayi baru lahir, penjagaan ibu selepas bersalin dan banyak lagi. Kesemua perkara tersebut adalah perkara penting yang mesti diketahui oleh bakal ibu dan ayah. Jika tidak belajar, sudah tentu anda langsung tidak mempunyai maklumat berkenaan. Sekurang-kurangnya ketika proses kelahiran bayi, ibu tahu apa yang patut dilakukan.

                          



5. Belajar tentang penyusuan

Bukan semua ibu hamil tahu menyusukan bayi dengan susu ibu selepas melahirkannya. Dengan menghadiri kelas antenatal, anda dapat belajar cara bagaimana hendak menyusukan bayi buat pertama kali. Pakar laktasi akan mengajar secara teori dan praktikal (menggunakan model anak patung) cara menyusukan bayi. Ini sangat membantu anda lebih berkeyakinan untuk terus menyusukan bayi sebaik melahirkannya dan tidak panik dengan situasi yang dihadapi kelak.

                                       

6. Untuk bakal ayah juga

Paling penting bakal ayah juga sama-sama mempelajari ilmu keibubapaan. Jadi, selepas ini tiada lagi alasan hanya ibu sahaja yang boleh menguruskan bayi. Melalui kelas ini bakal ayah akan tahu tentang perkembangan bayinya sejak dalam kandungan ibu lagi. Sekurang-kurangnya ia menjadi salah satu cara membina ikatan kuat antara bayi dan ayah.

                          

Sebaiknya, bakal ibu digalakkan menyertai kelas antenatal sebaik sahaja disahkan hamil. Belum sertai kelas antenatal? Jangan risau kerana anda masih boleh menyertainya. Bagaimanapun, ada baiknya daftarkan diri ketika kandungan berusia 30 minggu ke bawah di mana-mana hospital swasta atau hospital kerajaan. Tak rugi pun pergi!


Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan ibu hamil dari awal sebelum terlambat.



No comments:

Post a Comment